Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 02 MAC 2026 : “Saya tak expect yang saya dapat, maybe ini doa ibu saya dan bapa saya juga,” kongsi Huda Farhana Mohd Sahar yang merupakan penerima Tokoh Ikon Pelajar Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Tanjung Gahai.
Huda Farhana, 15, dari Padang Tengku melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang yang telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada dirinya pada majlis anugerah julung kali diadakan maahad tahfiz berkenaan.
“Hari ini saya dapat ikon Murid Banat bagi perempuan. Perasaan saya sangat gembira dan saya tak expect yang saya dapat sebab saya tak rasa saya dapat sebenarnya sebab semua hebat-hebat kat sini.

“Alhamdulillah saya dapat. Maybe ini doa ibu saya dan bapa saya juga dan kerjasama daripada mereka, sokongan yang mereka bagi kepada saya, saya sangat gembira dan bersyukur.
“Kepada MB Tok Wan, saya sangat berterima kasih kerana dapat hadir Majlis Anugerah sekolah kami dan saya sangat berterima kasih kerana bagi saya peluang untuk gambar bersama beliau,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lima adik beradik.
Sementara itu, penerima Ikon Pelajar Banin, Hazim Shah Azahari Shaharani, 16, melahirkan rasa terkejut apabila menerima anugerah berkenaan yang dinilai daripada aspek sahsiah, akademik, dan kokurikulum.

“Saya rasa gembira, sangat terharu walaupun saya rasa saya tidak layak sebenarnya sebab ramai lagi yang boleh dapat. Tapi saya rasa tetap bersyukur. Mungkin dia tengok daripada sahsiah, akademik, dengan kokurikulum juga.
“Saya masuk start Form 1 waktu tu 2023. Mula-mula saya memang berminat dan sampai sekarang saya masih ada sini.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana telah sudi datang ke majlis ini dan memberi anugerah ini kepada saya,” katanya yang berasal dari Penjom.
Maahad Tahfiz Ar-Rushd kini menempatkan 68 orang pelajar, terdiri daripada 47 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan, yang dibimbing oleh 15 orang kakitangan merangkumi barisan pengurusan dan tenaga pengajar. -PAHANGMEDIA

