Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 01 MAC 2026 : Pelajar tahfiz diminta bergerak seiring dalam bidang hafazan Al-Quran dan pendidikan bagi melahirkan generasi profesional yang seimbang dalam agama dan akademik.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, para pelajar perlu menyeimbangkan di antara agama dan akademik dalam kehidupan bagi memastikan keselesaan dalam beribadah pada masa hadapan.
“Bermakna kita tidak tinggal akademik walaupun kita ni nak hufaz, nak hafiz, dan sebagainya tapi dalam masa yang sama akademik terus kita jaga.

“Maksud saya seimbanglah walaupun kita dalam agama, pun kita jaga, kita belajar tetapi dalam bentuk akademik ni kita nak juga orang Melayu ni menjadi teknokrat, banker, korporat. Kita nak macam tu. Kalau tidak kita akan dihina, bila kita tidak memasuki ekonomi. Orang lain akan jajah kita dan masa itu mungkin kita tidak selesa untuk mengerjakan agama dan sebagainya.
“Kita kalau boleh kita seimbangkan seperti mana yang kita buat di Maahad Tahfiz Ar-Rusyd ini agama pun ada, ekonomi pun ada. Dan bagi saya ini jelas membuktikan bahawa Maahad Tahfiz kita ni bergerak seiring dengan arus pendidikan semasa dalam melahirkan generasi yang seimbang antara hafazan Al-Quran dan kecemerlangan ekonomi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar Maahad Tahfiz bahawa pencapaian dalam bidang agama dan akademik ini bukan pencapaian peribadi namun merupakan satu amanah yang besar.

“Ingatlah bahawa hafazan Al-Quran yang anak-anak bawa hari ini bukan sekadar pencapaian peribadi, ia merupakan satu amanah besar. Jadilah hafazan Al-Quran yang rendah diri, tinggi ilmunya, tinggi akhlaknya, dan luas pandangannya. Jadilah generasi Al-Quran yang mampu berdiri di tengah masyarakat, membimbing, menasihati, dan menyatukan, bukan memecah belahkan.
“Kepada para guru dan asatizah teruskan perjalanan ini dengan penuh ikhlasan. Setiap huruf yang diajarkan dan setiap kesabaran yang dikerahkan adalah saksi di sisi Allah SWT.
“Kepada para ibu bapa yakinlah bahawa pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan hari ini akan dibalas dengan ganjaran yang besar di akhirat kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran dan Anugerah Gemilang Maahad Tahfiz Ar-Rusyd (Kali Pertama) di Dewan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy di Tanjung Gahai.
Beliau kemudiannya hadir Majlis Berbuka Puasa YAB. Menteri Besar Pahang bersama Masyarakat Kampung Tanjung Gahai di Masjid Saidina Umar Al-Khattab Kampung Tanjung Gahai. -PAHANGMEDIA

