Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 1 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda mendekati golongan belia apabila sebanyak 500 pek bubur lambuk dan kurma diagihkan sempena Program Agihan Bubur Lambuk Majlis Belia Negeri Pahang di Padang MBK 1, di sini hari ini.
Program julung kali diadakan itu merupakan inisiatif bersama Majlis Belia Negeri Pahang (MBN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBS) dalam usaha merapatkan hubungan silaturahim antara kepimpinan dan golongan belia.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, program tersebut bukan sekadar pengagihan juadah berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform mendekati anak muda secara lebih santai dan mesra.

“Hari ini Majlis Belia Negeri Pahang dan kepimpinannya mengedarkan bubur lambuk dan juga kurma yang setiap satu jumlahnya lebih 500 untuk diedarkan di Padang MBK Kuantan sempena majlis berbuka puasa Majlis Belia Negeri Pahang bersama dengan belia-belia dan ramai yang hadir hari ini.
“Jadi kita nak eratkan hubungan silaturahim sesama kita khususnya anak muda dan saya ucap terima kasih banyak-banyak kepada Majlis Belia Negeri Pahang dan juga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang atas usaha dan inisiatif ini untuk kita lebih dekat, lebih mesra dengan anak muda,” katanya.
Menurutnya, penganjuran kali pertama itu mendapat sambutan menggalakkan dan berpotensi untuk diperluaskan pada masa akan datang.
“Ya, julung kali dilaksanakan dan kita tengok kita boleh perluas dan teruskan pada tahun hadapan insyaAllah,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

