Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 26 FEBRUARI 2026 : Empat kategori menjadi resipi untuk Pahang memiliki kekuatan dalam mencapai tahap perpaduan yang tinggi bagi skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, tahap perpaduan yang kukuh di negeri ini juga dibantu oleh insiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Apa yang mendorong kekuatan kita ada empat kategori. Yang pertamanya kita mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi di kalangan rakyat Negeri Pahang. Yang keduanya, kita nampak bahawa ada interaksi yang aktif di kalangan rakyat berbagai kaum.
“Ketiga, keyakinan rakyat Pahang terhadap institusi pentadbiran, dan keempat, kita nampak ada keseimbangan untuk pembangunan di luar bandar dan bandar.
“Sebelum ini ada inisiatif kerajaan negeri Pahang untuk mengeratkan perpaduan khususnya di masyarakat majmuk ini iaitu sempena hari perayaan kita ada elemen-elemen yang memperkenalkan budaya sesuatu kaum ataupun bangsa,” katanya.
Beliau berkata inisiatif berkenaan juga akan diteruskan lagi pada tahun ini melalui aktiviti silang budaya pada program atau majlis yang dianjurkan di negeri ini.
“Inisiatif kerajaan termasuk kita mengadakan program-program yang menjemput rakyat berbagai kaum untuk bersama supaya mereka dapat kawan baru dan mereka mempelajari budaya, adat resam, makanan, permainan tradisional kaum lain,
“Tahun ini kita akan meneruskan inisiatif ini dan kita juga berharap bahawa kita dapat mendorong silang budaya di mana di peringkat rakyat ataupun program-program yang dianjurkan baik anjuran kerajaan, agensi, ataupun swasta ataupun NGO.
“Kita menggalakkan bahawa kita melebihkan penyertaan berbagai kaum untuk kita bersama-sama mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah diatas pencapaian Pahang pada IPNas 2025 dan indeks ini telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak 2018.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kerana tahun ini Pahang menduduki tempat pertama untuk indeks ini di mana kita nampak untuk indeks ini Pahang telah mencatatkan peningkatan setiap kali.
“Bagi tahun 2018 0.58, tahun 2022 indeks kita adalah 0.63, dan tahun ini kita mencapai 0.817, dan menjadi tempat pertama di negara ini,” katanya.
Kementerian Perpaduan Negara sebelum ini telah mengumumkan Pahang merekodkan skor tertinggi bagi IPNas 2025 dengan skor sebanyak 0.817 dalam data mengikut negeri yang dikeluarkan. -PAHANGMEDIA

