Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 26 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan memberi bantuan dan pertolongan yang sepatutnya kepada dua anak mangsa kebakaran di Raub hari ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri juga akan melihat kebajikan yang diperlukan oleh dua beradik berkenaan.
“Difahamkan ada dua orang anak mangsa yang masih lagi belajar dan Kerajaan Negeri akan melihat kebajikan mereka dan akan bantu memberi pertolongan yang sepatutnya.
“Pagi tadi, Kerajaan Negeri telah menghantar wakil untuk bertemu dengan keluarga yang terdekat iaitu exco Kerajaan Negeri YB. Fadzli yang juga merupakan ADUN Dong.
“InsyaAllah Kerajaan Negeri akan umumkan bantuan yang sewajarnya bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh ahli keluarga,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan dukacita di atas kemalangan jiwa yang mengorbankan lima sekeluarga dalam insiden kebakaran awal pagi di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 3.44 pagi berkenaan mengorbankan lima mangsa iaitu Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya, Zaleha Adam @Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.
Manakala dua lagi anak pasangan itu, Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong tiada di rumah kerana menetap di asrama.
Kebakaran berkenaan memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut membabitkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar. -PAHANGMEDIA

