KUANTAN, 26 FEBRUARI 2026 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan sedalam-dalam ucapan takziah kepada waris lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub awal pagi tadi.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita di atas kejadian tersebut dan berharap agar seluruh ahli keluarga kesemua mangsa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ketentuan dan takdir Allah SWT.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh kesemua mangsa yang meninggal dunia di dalam bulan Ramadan yang mulia ini dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba Allah yang dikasihi.
Lima sekeluarga terdiri daripada suami isteri dikenali sebagai Mohd Allawi Mohammad, 57, dan Zaleha Ibrahim, 45, serta tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9, dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira 3.45 pagi tadi. -PAHANGMEDIA

