Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2026 : Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal meluahkan rasa pilu susulan tragedi kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub, awal pagi tadi.
Katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, beliau terus bergegas ke lokasi kejadian bagi melihat sendiri situasi yang berlaku serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan sebaik menerima perkhabaran tersebut.
“Pilu dan sedih pagi ini setelah mendapat perkhabaran lima orang sekeluarga terkorban dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi.
“Saya terus ke tempat kejadian sesudah Subuh tadi bagi melihat sendiri situasi sebenar,” katanya.

Tambahnya, dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 pagi itu, kebakaran dipercayai telah mengorbankan Allahyarham Mohd Alawi bersama isterinya serta tiga anak perempuan mereka apabila rumah yang didiami musnah terbakar.
Bagaimanapun katanya lagi, dua lagi anak Allahyarham iaitu Ahmad Balia Murqam yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong dan Ruby Adalia Balqis yang belajar di Kolej Matrikulasi Pahang tidak berada di rumah ketika kejadian.
YB Tuan Fadzli turut berkongsi pemergian Allahyarham amat dirasai lebih-lebih lagi kerana beliau baru sahaja bertemu dengan arwah pada hari pertama Ramadan yang lalu.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT untuk menempuhi ujian yang cukup besar ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

