Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 26 FEBRUARI 2026 : Keupayaan kewangan Kerajaan Negeri Pahang dalam menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat merupakan cerminan daripada kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perkara ini tidak datang begitu sahaja namun hasil pengurusan kewangan dan tatakelola yang memenuhi peraturan.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri ada keupayaan kewangan untuk memenuhi keinginan tuan-tuan dan puan-puan. Cuma, saya nak beritahu kenapa kita boleh bagi sumbangan macam ni. Kenapa Kerajaan boleh bagi sumbangan macam ini.
“Apakah di sebalik rohnya memberi sumbangan ini, dan dia tidak datang begitu saja. Ianya haruslah melibatkan pengurusan kewangan yang terancang, tatakelola yang memenuhi peraturan-peraturan tertentu.
“Dan yang paling penting, ini menunjukkan kestabilan Kerajaan Negeri. Tidak semua negeri yang boleh bagi sumbangan yang Kerajaan Negeri Pahang bagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Cek Kerajaan Negeri oleh YAB Menteri Besar di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong hari ini.
Beliau turut meminta para penerima untuk berfikir punca dari mana hasil sumbangan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat di negeri ini.
“Sebagai contohnya, ada di antara kita yang beragama Islam menunaikan haji, kita bagi duit poket RM750. Tidak semua negeri boleh bagi kecuali Selangor. Selangor pun, dia tengok kalau berdaftar di Selangor, dan rakyat negeri Selangor.
“Tetapi kita di Pahang, memang dari dulu memang baik. Nak tunaikan haji, kalau dia bukan rakyat Pahang pun kita bagi dia, dan begitu juga dengan bantuan-bantuan yang lain. Jadi maknanya, tuan dan puan harus melihat perkara ini. Bukan harini datang, buat permohonan melalui saya, melalui wakil rakyat dan sebagainya, dapat cek, balik, gunakan terus.
“Saya nak tuan-tuan fikirkan, di sebalik duit yang tuan-tuan terima daripada Kerajaan ini, bagaimana ianya boleh diperoleh? Kenapa boleh diperoleh? Apa sebab boleh diperoleh? Dan dalam masa yang sama, cubalah fikir balik, kalau orang memberi, bagaimana kita nak membalas balik?,” katanya.
Seramai 21 penerima menerima sumbangan Kerajaan Negeri hari ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM646,555. -PAHANGMEDIA

