Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa tragedi kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Dong, dekat Raub, awal pagi tadi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya amat berdukacita menerima perkhabaran mengenai kejadian menyayat hati itu dan memberi jaminan kebajikan keluarga mangsa akan diberi perhatian sepenuhnya.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya menerima perkhabaran yang amat mendukacitakan pada pagi ini mengenai tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub yang telah mengorbankan lima sekeluarga pada awal pagi tadi.
“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat besar ini.
“InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya serta memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendoakan agar ahli keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat itu serta mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 pagi itu, lima mangsa merupakan pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan ditemukan maut dalam keadaan rentung selepas rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi yang didiami mereka musnah dalam kebakaran.
Kesemua mangsa dipercayai terperangkap di dalam rumah berkenaan ketika kejadian. -PAHANGMEDIA

