Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2026 : Lima sekeluarga ditemukan maut dalam keadaan rentung selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, Raub, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 pagi itu, kesemua mangsa dipercayai terperangkap di dalam rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bimba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Encik Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 4.15 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 32 kilometer. Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lima mangsa ditemukan rentung di dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan sembilan anggota dari BBP Raub dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, operasi turut dibantu lima anggota dari BBP Lipis dengan sebuah jentera FRT.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan daripada sumber air tangki pam jentera bomba.
“Operasi berjaya dikawal pada pukul 4.48 pagi,” ujarnya.
Tambahnya, kebakaran tersebut turut memusnahkan tiga buah kereta dan tiga motosikal yang berada berhampiran rumah berkenaan.
Bagaimanapun, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Pegawai Penyiasat Kebakaran (FIO) Zon Lipis telah dimaklumkan bagi menjalankan siasatan lanjut.
Jenazah kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -PAHANGMEDIA

