Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 25 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa memandang berat usaha membangunkan kemudahan untuk rakyat negeri ini khususnya di kawasan pedalaman.
Paduka Baginda bertitah perkara itu dapat dibuktikan menerusi usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah pimpianan YAB Menteri Besar Pahang dalam melaksanakan projek-projek penting demi kesejahteraan rakyat.

“Terlebih dahulu terima kasih pihak kerajaan yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar serta Setiausaha Kerajaan Negeri di atas usaha melaksanakan projek yang cukup mustahak kepada rakyat di sini.
“Dan saya ingin menyentuh sikit iaitu Kerajaan Negeri Pahang memang sentiasa memandang berat dari segi kemudahan-kemudahan asas khusus di kampung-kampung pedalaman,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat ke Rumah Pam Kampung Paya Badak, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan barisan ketua-ketua jabatan.

Dalam lawatan Paduka Baginda ke rumah pam berkenaan, Paduka Baginda telah dipersembahkan tentang pelaksanaan dan penyelenggaraan projek-projek bekalan air di seluruh negeri ini.
Paduka Baginda turut bertitah sebahagian besar projek termasuk loji rawatan air dan sistem perpaipan berjaya diselenggara dengan baik, khususnya di kawasan penempatan Orang Asli, sekali gus memastikan rakyat menikmati bekalan air yang lebih terjamin dan berkualiti.
Paduka Baginda dalam titahnya turut berharap agar projek bekalan air terus diberi perhatian menyeluruh tanpa mengira kaum dan kawasan, meliputi penempatan Orang Asli, Melayu, Cina dan India.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menegaskan agenda memperkasakan masyarakat Orang Asli juga sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menegaskan agar tiada mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri ini.
“Dan janganlah mana-mana pihak nak cuba mengusik dan dan memecahbelahkan rakyat saya di negeri Pahang ini. Saya tidak akan membenarkan,” titah Paduka Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

