ROMPIN, 21 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan umat Islam bahawa masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina yang megah pada pandangan mata tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.
“Justeru, saya menyeru kepada seluruh kariah agar menjadikan masjid ini sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup, subur dan berdaya saing. Imarahkanlah dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis-majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa, serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhwah sesama kita.
“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya, namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading, di sini semalam.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut mengingatkan umat Islam jangan sesekali masjid dijadikan hak eksklusif mana-mana kelompok semata-mata sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat merasa terpinggir atau tidak didekati.
“Pastikan pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid ini benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya,” titah baginda.
Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menyeru kepada seluruh umat Islam agar terus berpegang teguh kepada akidah yang berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta menjauhi segala bentuk ajaran sesat dan penyelewengan yang boleh merosakkan keimanan dan keharmonian negara. – PAHANGMEDIA

