Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri menzahirkan keprihatinan dengan menziarahi waris lima sekeluarga yang maut dalam kejadian menyayat hati di Taman Cerating Damai, di sini, Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, lawatan tersebut diadakan bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.
Selain itu katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memberikan sesi kaunseling kepada ahli keluarga mangsa yang menjadi saksi kejadian terbabit.
“Hari ni saya mengadakan lawatan kepada kes baru-baru inilah yang mana kematian lima sekeluarga itu. Dan kita berziarah ke rumah ayah saudaranya yang mana adalah adik dia yang menyaksikan kejadian tu.
“Ada sedikit (sumbangan) daripada Pejabat Exco, daripada MAKPEM (Majlis Pembangunan dan Kebajikan Rakyat) dan juga daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya setelah selesai mengadakan ziarah berkenaan.
Beliau dalam pada itu berkata, kejadian tersebut amat menyentuh hati lebih-lebih lagi berlaku pada awal Ramadan yang sepatutnya disambut dalam suasana penuh keberkatan.

“Kepada keluarga, kita memang tak nak benda ni. Lebih-lebih lagi awal Ramadhan kan. Tapi kalau dah jadi tu nak buat macam mana cuma tabahlah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan mental, namun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
“Tapi itulah, kepada yang di luar sana, kita kena sebenarnya banyak sabarlah. Apa juga dugaan. Mungkin jangan sampai kejadian macam ini berulanglah.
“Kita boleh mendapatkan rawatan. Kita ada macam contoh di bawah unit saya, kita ada LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara), Jabatan Pembangunan Wanita yang boleh membantulah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa atau hospital sekiranya mendapati individu di sekeliling menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental.
Terdahulu, kesemua lima sekeluarga berkenaan telah selamat dikebumikan pada Rabu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cherating, di sini. -PAHANGMEDIA

