ROMPIN, 19 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan hasrat untuk melihat sektor pertanian di Pulau Tioman diperkasa secara menyeluruh sebagai usaha memperkukuh ekonomi dan jaminan bekalan makanan masyarakat tempatan.
Paduka Baginda bertitah bahawa satu projek pembangunan pertanian yang dirancang di pulau peranginan itu amat penting dan diharapkan menjadi “success story” serta penanda aras (benchmark) kepada kawasan lain di negeri ini.

Menurut baginda, kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan makanan dari tanah besar bukanlah satu pendekatan yang wajar, sebaliknya Pulau Tioman perlu berusaha membangunkan kapasiti pengeluaran makanan sendiri.
“Sebab pertanian ini, saya rasa ada keperluan untuk masyarakat tempatan. Kita tidak boleh mengharap bahan-bahan makanan daripada tanah besar. Jangan kata tanah tak cukup. Tanah itu ada, mencukupi, tetapi tenaga kerja yang perlu diperkasakan. Sikap dan pemikiran juga perlu berubah,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Pelancaran Projek Hidroponik Pintar di Kampung Tekek, Pulau Tioman, di sini hari ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda menekankan bahawa anak-anak muda Pulau Tioman perlu tampil ke hadapan dan bersama-sama menceburi bidang pertanian secara serius, termasuk mendapatkan bimbingan serta latihan teknikal bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam sektor tersebut.

Titah Paduka Baginda lagi, tanah-tanah terbiar di setiap kampung perlu dikenal pasti dan diusahakan semula untuk tujuan pertanian.
“Perbincangan juga boleh diadakan dengan pihak berkaitan termasuk pemilik tanah pusaka dan agensi Persekutuan sekiranya melibatkan tanah di bawah bidang kuasa tertentu.
“Jangan beri alasan tiada tanah. Tanah ada, cuma perlu diurus dan diusahakan dengan betul. Mana-mana tanah yang sesuai, kita bincang dan majukan untuk pertanian,” titah baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat berkaitan usaha memperkasa sektor makanan termasuk penanaman padi di tanah besar sebagai langkah jangka pendek, sebelum Pulau Tioman mampu mengurus dan mengeluarkan hasil makanan sendiri secara lebih tersusun pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berharap dalam tempoh setahun akan datang, perubahan positif dapat dilihat termasuk pembukaan kawasan-kawasan baharu untuk aktiviti pertanian di pulau berkenaan.
Sebagai tanda komitmen, Paduka Baginda bertitah akan berangkat melawat setiap kampung di Pulau Tioman dalam tempoh setahun bagi meninjau sendiri perkembangan dan pelaksanaan inisiatif tersebut. -PAHANGMEDIA

