Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 22 JANUARI 2026 : Kehadiran YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja beliau ke negeri ini memberi mesej jelas bahawa pelajar tahfiz di negara ini tidak dipinggirkan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pahang meletakkan Islam sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri selari dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Kehadiran YAB Dato’ Seri hari ini bukan sekadar lawatan rasmi. Ia satu isyarat yang besar maknanya, bahawa pendidikan Islam, pendidikan Al-Quran dan pembangunan insan berteraskan agama sentiasa dekat di hati kepimpinan negara.

“Di Pahang, kita meletakkan Islam sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri. Inilah roh kepada Aspirasi Pahang 1st yang mana pembangunan mesti seimbang, jasmani dan rohani, dunia dan akhirat.
“Sebab itu dalam Belanjawan Negeri Pahang 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM235.95 juta khusus untuk memperkukuh syiar Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz Negeri Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga telah memperuntukkan RM235.95 juta pada Belanjawan Negeri Pahang 2026 khusus untuk memperkukuh syiar Islam di negeri ini.
“Ini bukan peruntukan kecil, dan ini bukan janji kosong. Ini adalah komitmen berterusan bahawa Islam bukan sekadar slogan, tetapi panduan dalam mentadbir negeri.
“Dalam soal pendidikan tahfiz, Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendekatan menyeluruh dan berperingkat. Kita mahu anak-anak kita dibimbing sejak kecil, diasuh dengan Al-Quran, dan dibina masa depannya dengan teratur,” katanya. -PAHANGMEDIA

