Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 22 JANUARI 2026 : Penguasaan bahasa yang pelbagai dan baik oleh anak-anak di negara ini dapat membina masa hadapan yang lebih berdaya saing.
Menurut YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepelbagaian bahasa ini bukan untuk mencetuskan polemik perkauman di negara ini tetapi ia dapat mengangkat mutu pendidikan negara.
“Tumpuan kita meningkatkan lagi mutu pendidikan anak-anak kita. Saya menetapkan dalam negara ini penguasaan bahasa yang baik dan keperluan untuk bersaing di persada dunia.

“Kita tak mahu lagi pertelingkahan antara kaum tidak berkesudahan. Mereka perlu bersedia bersaing untuk bekerja bukan sahaja dalam negara, malah di rantau Asia dan di peringkat dunia.
“Sebab itu bahasa, sains, matematik, digital dan kecerdasan buatan (AI) mesti dikuasai sejak peringkat awal persekolahan. Saya harap semua rakyat dari semua kaum lihat rancangan ini untuk mengangkat mutu pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting.
Turut hadir YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Kewangan II, YB. Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ahli Parlimen Bentong, YB. Puan Young Syefura Othman.

Beliau turut berkata usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara perlu dilihat sebagai agenda nasional dengan kerjasama semua pihak melibatkan perhatian kepada prasarana sekolah, latihan guru, serta kemudahan yang mencukupi.
Beliau dalam ucapannya turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM13.5 juta bagi pelaksanaan projek penambahbaikan dan kemudahan tambahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting.
Pembinaan ini melibatkan sebuah bangunan tambahan enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan satu bilik darjah Prasekolah Integrasi dengan RM300,000 diluluskan segera bagi membolehkan kerja awal dimulakan. -PAHANGMEDIA

