Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyokong penuh terhadap pendekatan holistik yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam usaha memperkasa kesedaran serta pencegahan kanser serviks dalam kalangan wanita di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, penganjuran Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Tahun 2026 Peringkat Negeri Pahang membuktikan komitmen bersama Kerajaan Negeri dan LPPKN dalam memperluas akses kesihatan wanita secara menyeluruh.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada LPPKN Negeri Pahang atas penganjuran program yang padat dengan pelbagai aktiviti kesihatan gaya hidup sihat seperti Zumba, Chairobic dan Tabata, diikuti dengan Ceramah Berkaitan Kanser Serviks Dan Teknik Saringan HPV DNA.
“Pendekatan ini amat bertepatan kerana kesedaran kesihatan bukan hanya melalui ceramah semata-mata, tetapi perlu disokong dengan pendidikan, pengalaman dan tindakan secara langsung, termasuk menjalani saringan yang disediakan pada hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan bertempat di BCIC Lodge, Kompleks Sri Dagangan Indera Mahkota, di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyokong penuh inisiatif Pemerkasaan Komuniti Melalui Duta Etnik yang dilaksanakan oleh LPPKN Negeri Pahang sebagai medium penyampaian maklumat kesihatan yang lebih dekat, berkesan dan diyakini komuniti setempat.
“Pendekatan ini bukan sahaja strategik, malah bersifat lestari kerana ia melahirkan agen perubahan daripada komuniti itu sendiri; menggunakan bahasa ibunda dan dialek tempatan sebagai medium komunikasi; dan mmbina kepercayaan komuniti terhadap mesej kesihatan,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Watikah Pelantikan ‘Training of Trainers’ Pemerkasaan Komuniti Melalui Duta Etnik kepada tujuh wakil terdiri dari institusi pengajian (IPT) serta badan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai kaum termasuk dari masyarakat Orang Asli.

Beliau dalam pada itu memaklumkan pelaksanaan Ujian HPV DNA oleh LPPKN sejak 2019 merupakan satu langkah progresif yang disokong Kerajaan Negeri kerana ia mampu mengesan jangkitan HPV berisiko tinggi pada peringkat awal sebelum berkembang menjadi kanser serviks.
“Saya berharap sambutan ini bukan sahaja berlangsung dengan meriah, tetapi meninggalkan kesedaran mendalam dalam diri kita semua.
“Semoga masyarakat lebih peka tentang kepentingan kesihatan wanita dan sama-sama berganding bahu untuk melahirkan komuniti yang sihat, kuat dan sejahtera,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

