Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 JANUARI 2026 : “Terima kasih Menteri Besar, bantuan laptop ini memudahkan lagi kerja harian saya,” kongsi Muhamad Amirul Adiputra, yang menerima sumbangan komputer riba dari Kerajaan Negeri Pahang.
Muhamad Amirul Adiputra Ruzmanti, 19, yang merupakan pelajar tahun dua Kolej Poly-Tech MARA turut melahirkan rasa gembira dengan bantuan yang diterimanya.

“Hari ini saya dapat bantuan laptop daripada kerajaan. Dia membantu pemberian ini kerana saya daripada semester 1 saya ada kerja yang melibatkan laptop. Nak guna Canva ataupun nak guna Word.
“Tapi saya memang tak dapat nak beli laptop sebab saya keluarga yang tak mampu. Jadi saya hanya gunakan phone saya, hanya berbekalkan phone second saya untuk memudahkan lagi kerja-kerja harian.
“Saya rasa sangat gembira dengan bantuan ini sebab lepas ini pun saya ada kelas. Jadi saya boleh gunakan laptop ini untuk kelas,” katanya yang mengambil jurusan diploma Pengurusan Sukan.
Sementara itu, menurut Dato’ M. Devendran yang menerima bantuan bagi pembedahan menukar kanta mata turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya dapat bantuan untuk pembedahan mata, nak tukar kanta mata. Saya rasa gembira sebab saya seorang rakyat Pahang. Memang Kerajaan Negeri sentiasa membantu rakyat Pahang.
“Saya terpaksa minta bantuan daripada Kerajaan kerana pendapatan saya tidak memadai untuk menanggung kos rawatan berkenaan sebanyak RM1,800.
“Memang saya rasa gembira dan sukacita saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang yang telah sudi membantu saya untuk membeli kanta mata untuk pembedahan,” katanya. -PAHANGMEDIA

