KUANTAN, 15 JANUARI 2025 : Lebih banyak produk industri kecil dan sederhana (IKS) Pahang berpeluang dipasarkan dalam pasar raya milik Aeon tidak lama lagi.
Perkara itu akan diputuskan selepas pertemuan lanjut antara wakil kerajaan negeri dan syarikat berkenaan yang dijadualkan bakal diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, buat masa ini, rangkaian pasar raya itu yang memiliki 27 cawangan di seluruh negara sudah memasarkan sebahagian daripada produk IKS dihasilkan usahawan dari negeri ini.

“Perbincangan lanjut akan diadakan selepas ini, dan tadi pun saya sempat berbual dengan pihak pengurusan Aeon dan mereka sedia melihat perkara itu.
“Paling penting adalah usahawan IKS Pahang kena bersedia dengan produk mereka, kerana kita tidak mahu produk IKS ini hanya setakat dipasarkan di dalam negara… kalau boleh, biar sampai boleh dijual di Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan pasar raya Aeon Kuantan, di sini, hari ini.

Pasar raya itu adalah cawangan kedua milik Aeon di Pantai Timur, selepas di Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan Pahang sentiasa mengalu-alukan lebih banyak pelabur datang ke Pahang dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka.
Katanya, setakat tahun lalu, Pahang sudah merekodkan pelaburan komited berjumlah RM18.04 bilion.

“Ini membuktikan bahawa dasar dan polisi ditawarkan kerajaan Pahang diterima baik oleh pelabur, dan buktinya kita merekodkan jumlah pelaburan komited yang sangat besar tahun lalu.
“Dalam masa yang sama, peluang pekerjaan juga tersedia untuk warga Pahang menerusi kemasukan pelaburan ini, dan seperti yang kita lihat hari ini, di pasar raya ini, ramai pekerjanya adalah warga tempatan,” katanya. – PAHANGMEDIA

