Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 16 JANUARI 2026 : Pahang dipilih sebagai destinasi utama negara bagi pelancongan alam semula jadi dan eko-pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), tahun ini.
Ia berdasarkan dapatan satu tinjauan pengguna terbaharu di seluruh Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju pelancongan mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan keyakinan orang ramai terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara khazanah alam semula jadi sambil membangunkan industri pelancongan bertaraf dunia.
Katanya, Pahang menyasarkan 15 juta pelancong tempatan dan antarabangsa tahun ini selari dengan potensi besar negeri itu sebagai destinasi eko-pelancongan utama negara.

“Kami amat berbangga dan bersyukur kerana orang ramai mengiktiraf Pahang sebagai nadi warisan semula jadi Malaysia.
“Keputusan tinjauan ini adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memelihara biodiversiti unik kami sambil menawarkan pengalaman pelancongan bertaraf dunia dan mampan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis menyambut ketibaan lebih 250 pelancong antarabangsa di Resorts World Genting, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Genting Malaysia, Encik Lee Thiam Kit dan Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Encik Spencer Lee.
Mengulas dapatan tinjauan itu, YB Puan Leong berkata, Pahang muncul sebagai pilihan utama dalam empat kategori penting pelancongan alam semula jadi, termasuk sebagai negeri paling diingati untuk percutian santai dengan 34.3 peratus responden memilih Pahang.

Katanya lagi, faktor utama yang menarik minat pelancong ialah peluang untuk berehat di tanah tinggi yang nyaman dengan 21.8 peratus responden menyatakan tarikan tersebut, khususnya destinasi popular seperti Genting Highlands.
Selain itu katanya, sebanyak 28.1 peratus peserta tinjauan mengundi Pahang sebagai negeri yang menawarkan gabungan pengalaman pelancongan terbaik, manakala 30.5 peratus pula mengiktiraf Pahang sebagai negeri paling komited terhadap pelancongan mesra alam dan mampan.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memperhebat promosi dan pembangunan produk pelancongan hijau bagi memastikan Pahang kekal relevan dan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus membangunkan dan mempromosikan Pahang sebagai destinasi premier yang mementingkan alam sekitar untuk pelancong tempatan dan antarabangsa, dan kami berharap dapat mencapai sasaran 15 juta pelancong bersempena dengan VM2026,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

