Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 15 JANUARI 2026 : Penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang (SRAIN) Cameron Highlands menjadi bukti nyata Kerajaan Negeri Pahang terus istiqamah dalam memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sebagai permulaan, seramai 10 pelajar Tahun Satu di bawah bimbingan enam orang guru telah memulakan sesi persekolahan mereka di bangunan sementara yang disewa di Golden Hill, di sini.
Katanya bangunan berkenaan disewa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam memastikan usaha murni Kerajaan Negeri mewujudkan sekolah terbabit dapat terus direalisasikan.

“Jadi saya yakin usaha murni ini akan membuahkan satu hasil baru, produk baru Kerajaan Negeri Pahang kerana SRAIN ini merupakan julung-julung kali sekolah rendah agama negeri yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Jadi kita Kerajaan Negeri bertekad. Sebab itu kita letak enam orang guru yang terlatih, ada diploma dan ada ijazah dan juga dia sudah pernah mengajar di sekolah-sekolah Kementerian dan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri untuk menjadi pendidik di sekolah rendah ini.
“Dan kita nak pastikan 10 pelajar ini akan menjadi bukan sahaja mercu tanda kepada pendidikan agama di Cameron Highland, bahkan untuk Negeri Pahang, insyaAllah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke bangunan sementara SRAIN Cameron Highlands di Golden Hills, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin; serta pegawai-pegawai jabatan berkaitan.
Tambahnya, kurikulum yang dilaksanakan di sekolah terbabit merangkumi mata pelajaran akademik, agama, bahasa Arab serta hafazan al-Quran secara bersepadu selaras dengan kurikulum yang diperakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya lagi, Kerajaan Negeri merancang untuk menambah bilangan pelajar pada masa akan datang dan tidak akan kekal dengan jumlah sedia ada.
“Kita pasti buat penambahan (pelajar). Maknanya tidak duduk tetap dalam posisi yang sama. Tapi ini yang pertamalah dulu,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, penubuhan SRAIN berkenaan merupakan cetusan idea hasil limpah perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika Paduka Baginda berkenan bercemar duli melawat Cameron Highlands sebelum ini.
Hasrat tersebut katanya, kemudiannya direalisasikan oleh JAIP dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, yang telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta dalam Belanjawan Negeri bagi pembinaan sekolah berkenaan.
“Kita memang dah ada tapak, kos pun memang dah ada, cuma kita belum dapat laksanakan dalam masa yang singkat ini kerana Cameron Highlands ini perlu kepada masa dan juga apa penelitian yang betul-betul sempurna agar bangunan itu dapat dibina,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

