Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 JANUARI 2026 : Program Jom Kembali Ke Sekolah memberikan kesan besar melibatkan soal pendidikan, kebajikan, dan masa depan anak-anak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, program ini juga dapat membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa.
“Program Jom Kembali Ke Sekolah satu program yang amat bermakna dan dekat di hati saya. Program seperti ini mungkin nampak ringkas, tetapi kesannya sangat besar. Ia menyentuh soal pendidikan, kebajikan dan masa depan anak-anak kita.
“Kita semua maklum, setiap kali menjelang sesi persekolahan, ramai ibu bapa berdepan dengan cabaran menyediakan kelengkapan sekolah. Justeru, bantuan yang disampaikan hari ini sedikit sebanyak InsyaAllah dapat meringankan beban, terutamanya kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jom Kembali Ke Sekolah Bersama Golongan Asnaf dan Penduduk Balok, di Raziq Cafe, Balok.
Tambah beliau, pembangunan masyarakat memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada Kerajaan Negeri semata-mata.
“Saya percaya pembangunan sesebuah komuniti tidak boleh digalas oleh pihak kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah pemimpin, sektor swasta dan masyarakat setempat.
“Apabila semangat kebersamaan ini wujud pasti banyak kebaikan dapat kita capai bersama. Harapan saya, agar lebih ramai individu, syarikat, dan usahawan, tampil mengikut jejak langkah Aliza Cookies, Serlah Nusa Sdn Bhd, dan Big Energy Sdn Bhd dalam menabur sumbang bakti dan menyemai budaya prihatin dalam masyarakat kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

