Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan dakwaan mengatakan Ketua Audit Negara tidak faham dalam penyediaan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 sebagai satu tuduhan yang serius.
Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Cheka YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man ketika Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
“Pertama sekali saya ingin menegaskan di sini bahawa saya, dan saya percaya rakan-rakan barisan kepimpinan kerajaan, sangat-sangat tidak setuju dengan kenyataan ADUN Cheka yang mengatakan Ketua Audit Negara tidak faham, itu satu tuduhan yang serius,” katanya.
Mengenai isu defisit perbelanjaan negeri, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri tidak menggunakan hasil negeri untuk pembangunan atau projek, sebaliknya mengambil daripada sumber lain.
“Kita keliru di situ sebab kita mengandaikan kita ambil daripada hasil, jadi nampak defisit. Sebab itu Ketua Audit Negara buat catatan di bawah itu (Laporan Ketua Audit Negara 3/2025) sumber daripada mana,” katanya.
Tambahnya, isu sebenar bukan berkaitan defisit atau lebihan, tetapi kekeliruan dalam memahami laporan berkenaan.
“Yang saya bimbangkan ialah jika kita tidak faham, yang surplus dikatakan defisit, yang putih dikatakan hitam dan yang hitam dikatakan putih,” ujarnya menegaskan bahawa setiap perbelanjaan kerajaan adalah daripada sumber yang telah dikenal pasti dan disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penganjuran kursus khas bagi Ahli-Ahli Dewan Negeri Pahang untuk meningkatkan pemahaman mengenai teori kewangan dan laporan audit.
“Sebab itu saya mencadangkan kita buat kursus. Melalui kursus kita boleh ‘through the idea’, mungkin boleh mencadangkan buat usul dan sebagainya,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

