Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang telah menambah peruntukan daripada RM12 juta kepada RM20 juta bagi memastikan Universiti Al-Quran dapat dilaksanakan awal Januari tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, usaha tersebut merupakan titah daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sebelum ini.
“Sebenarnya ini adalah ekoran titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang memberi cadangan kerana hasil daripada program hafazan dan tilawah Al-Quran nampak benar Mahaad Tahfiz sama ada yang telah diusahakan oleh Kerajaan Negeri, Maahad Tahfiz professional, Maahad Tahfiz Teras, Mahaad Tahfiz TVET di bawah Yayasan Pahang dan Maahad Tahfiz persendirian menonjolkan keupayaan anak-anak kita dengan keberhasilan Universiti Islam Pahang menghasilkan anak-anak didiknya.
“Ditambahnya pula, Kebawah Duli Paduka Baginda tengok sendiri bagaimana usaha YAB Menteri Besar Pahang dalam rangka lawatan beliau ke Universiti Yarmouk di Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin di Morocco, Universiti Al-Azhar di Mesir.
“Hubungan ini telah menampakkan keupayaan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan tahfiz-tahfiz ini untuk dinaik tarafkan. Maka sebab itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan untuk bertitah universiti Islam ini dinamakan dengan Universiti Al-Quran,” katanya.
Tambahnya, penjenamaan baru kepada Universiti Al-Quran bukan sekadar nama tetapi menambah pengisian baru melibatkan ilmu Al-Quran.
“Kerajaan Negeri telah meminta UniPSAS mengadakan beberapa sidang bengkel sama ada diperingkat Negeri oleh UnIPSAS sendiri bersama dengan jenteranya dan bengkel bersama pihak Kementerian Pengajian Tinggi serta universiti-universiti yang ada melibatkan pengajian Islam seumpama Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia begitu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memiliki darul Al-Quran.
“Hasil dari bengkel, kita telah berjaya merumuskan satu penjenamaan yang membolehkan UnIPSAS ini ubah kepada anjakan yang baru kepada Universiti Al-Quran. Ia bukan sekadar penjenamaan semata-mata, bahkan satu pengisian baru yang bakal cambah di universiti ini, sekali gus dapat menyentuh percambahan ilmu dari sudut I’jaz al-Balaghi, I’jaz Ilmi, I’jaz Syarie dan I’jaz Aqidah yang tercambah daripada Al-Quran itu,” katanya.
Tambahnya, pembinaan Mahaad Tahfiz yang akan dilaksanakan di Padang Tengku, Kuala Lipis sedang dalam perbincangan untuk dijadikan sebagai Darul Hadis Negeri Pahang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly dan soalan tambahan dari ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

