Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM75 juta bagi memperkasakan ekosistem pendidikan secara keseluruhan di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh jaringan sosial dan modal insan pada semua peringkat.
“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan RM75 juta secara menyeluruh bagi ekosistem pendidikan negeri merangkumi sekolah, institusi pengajian tinggi, tahfiz dan pembangunan masyarakat.
“Daripada jumlah itu, RM24 juta disediakan sebagai biasiswa kepada 50,000 pelajar sekolah rendah dan menengah sebagai usaha memberi ruang yang lebih luas kepada anak-anak Pahang untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga memperuntukkan RM8 juta bagi pembangunan komuniti belia dan graduan melalui Yayasan Pahang.
“Langkah-langkah ini menunjukkan negeri Pahang tidak berkompromi apabila menyentuh soal pendidikan anak bangsa.
“Setiap wang yang dibelanjakan adalah pelaburan untuk menjadikan generasi akan datang lebih berdaya saing, lebih kreatif dan lebih bersedia mengemudi masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

