Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang menyeru seluruh umat Islam di Negeri Pahang untuk berpegang teguh kepada ajaran sahih, menolak sebarang fahaman songsang mahupun ajaran menyesatkan.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM1.5 juta bagi menyuburkan kefahaman fiqh memandangkan Pahang merupakan negeri yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.
“Dalam usaha menyuburkan kefahaman fiqh, jati diri kenegaraan, dan semangat Hubbul Watan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi menjayakan Program Pemerkasaan Fiqh Al-Watan.
“Program ini menjadi wadah pendidikan rakyat agar selari dengan kedudukan Negeri Pahang sebagai sebuah Daulah Islam yang berdaulat dan negeri yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Waljamaah berdasarkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh umat Islam di Negeri Pahang agar berpegang teguh kepada ajaran yang sahih, menolak sebarang fahaman songsang, ajaran menyesatkan atau gerakan ekstrem yang boleh menggugat akidah, memecahbelahkan ummah serta merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pegangan Ahli Sunnah Waljamaah mesti terus dipertahan sebagai benteng akidah, asas perpaduan dan teras kekuatan negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

