Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 19 NOVEMBER 2025 : Projek menaik taraf Sistem Bekalan Air Maran melibatkan jajaran Tajau ke Sri Jaya kini telah siap sepenuhnya, manakala kerja-kerja di kawasan Kampung Luit yang melibatkan 32,000 akaun pengguna dijangka siap pada April tahun hadapan.
Turut menyusul ialah kawasan Jengka yang melibatkan 8,000 akaun pengguna, menjadikan jumlah keseluruhan akaun yang terlibat dalam projek ini meningkat kepada 40,000 akaun.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemajuan projek berada 40 peratus lebih awal daripada jadual asal, sekali gus memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
“Hari ini saya mendengar taklimat disampaikan oleh Tuan Samad dan bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP (Pengurusan Air Paip Pahang Berhad), mereka telah memaklumkan kepada saya daripada Tajau ke Sri Jaya telah pun siap sepenuhnya dan sekarang ni daripada sini, sekitar Kampung Luit yang ada 32,000 pemegang akaun InsyaAllah akan siap pada bulan empat (April) tahun depan.

“Dan saya sangat gembira apabila dimaklumkan bahawa kerja-kerja dibuat terkehadapan 40 peratus daripada jadual dan ini satu perkara yang membanggakan dan sudah pastinya menguntungkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Tapak Projek Menaiktaraf Sistem Bekalan Air Maran di tapak projek berhampiran Jambatan Kampung Luit bersempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Maran, hari ini.
Lawatan berkenaan turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menjelaskan bahawa dengan siapnya jajaran ini, masalah bekalan air di daerah Maran dijangka dapat diselesaikan lebih 90 peratus dalam masa terdekat.

“InsyaAllah masalah air di Maran ini akan dapat kita selesaikan 90 peratus ke atas. Walaupun saya dimaklumkan boleh selesai 100 peratus tapi cukup kalau kita boleh dapat menyelesaikan dalam masa terdekat ini 90 peratus ke atas,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi keyakinan kerajaan negeri mencapai sasaran menyelesaikan 90 peratus masalah bekalan air di seluruh Pahang menjelang akhir 2026, dengan daerah Bentong telah pun mencapai tahap tersebut, disusuli Raub dan Maran.
“Dan ini juga adalah janji Kerajaan Negeri, 90 peratus masalah air di negeri Pahang ini kita akan dapat selesaikan menjelang akhir tahun 2026.
“Dan satu daerah telah pun kita berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus iaitu di Bentong dan insyaAllah akan disusuli daerah Raub dan Maran diikuti oleh daerah-daerah lain.
“Jadi untuk itu, sehingga hari ini saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PAIP dan juga PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad) kerana berjaya menjalankan tugas yang sudah pastinya memberi manfaat kepada rakyat negeri Pahang,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

