Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar semua koperasi kariah masjid di seluruh negeri diurus dengan baik, berintegriti dan penuh tanggungjawab bagi memperkukuh ekonomi umat Islam.
Titah Paduka Baginda, koperasi masjid berpotensi menjadi platform penting dalam membangunkan ekosistem ekonomi umat Islam melalui pelbagai bidang keusahawanan seperti peruncitan, Ar-Rahnu, perkhidmatan dobi, penyediaan makanan, penjagaan diri, pakej haji dan umrah, korban serta pertanian.
“Saya ingin menyarankan supaya koperasi-koperasi di seluruh negara serta di Pahang ini diurus dengan baik supaya kita dapat menyatukan juga peranan kita, untuk menyatukan komuniti melalui program-program koperasi, mengukuhkan semangat kerjasama, menjadikan sumber kewangan penting bagi pembangunan dan ekonomi masjid dan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan dan sumbangan awam. Dan saya harap ini semua dapat menjadi peringatan pada kita semua,” Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Grand Darul Makmur Hotel di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan barisan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan harapan agar koperasi di negeri Pahang dapat mempertingkatkan prestasi dan berada dalam senarai 10 koperasi terbaik negara, bukan sekadar 100 terbaik seperti sekarang.
“Dan dimaklumkan tadi 11 koperasi adalah adalah antara top 100 ke atas. Itu 100, kalau boleh biarlah top 10, barulah orang kenal. Saya nak Pahang punya koperasi ditingkatkan jadi top 10, bukan sekadar top 100,” titah Baginda.
Baginda turut menyambut baik penubuhan Konsortium Koperasi Masjid yang disifatkan sebagai langkah baik dalam menyatukan koperasi di seluruh negara agar mampu meneroka aktiviti ekonomi berskala besar.
Paduka Baginda dalam pada itu turut menitahkan agar semua pegawai dan kakitangan masjid di negeri Pahang yang berjumlah 1,830 orang mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menjamin kebajikan dan keselamatan sosial mereka.
Baginda turut menyeru Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) agar menggubal dasar dan garis panduan pembabitan masjid dalam aktiviti ekonomi.
“KUSKOP serta agensi seperti SKM, IKMA dan ANGKASA diseru memberi sokongan strategik dan bimbingan kepada koperasi kariah masjid. Dan menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara semua pihak bagi memastikan kejayaan koperasi kariah masjid,” titah Baginda. -PAHANGMEDIA

