Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2025 : Sambutan Hari Biodiversiti Negeri Pahang 2025 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh kelestarian alam semulajadi di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, penganjuran ini mencerminkan usaha Kerajaan Negeri dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang dalam mengetengahkan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini.

“Hari ini kita mengadakan Sambutan Hari Biodiversiti. Jadi apa yang kita dapat lihat adalah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang untuk kita mengetengahkan kepelbagaian kehidupan dan biodiversiti dalam Negeri Pahang.
“Sambutan Hari Biodiversiti ini sangat bagus untuk kita adakan dan dapat kita memberikan sedikit pendedahan kepada pengunjung-pengunjung khususnya kepada rakyat Negeri Pahang supaya kita dapat mengekalkan segala khazanah-khazanah yang ada yang mungkin kita tidak dapat temui di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Biodiversiti Negeri Pahang 2025, selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Zenith Hotel.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan peranan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.

“Inisiatif-inisiatif banyaklah dari segi peruntukkan dan berbagai-bagai tempat research disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Majlis Biodiversiti pun kita tubuhkan untuk memastikan bahawa usaha-usaha ini mesti dilakukan daripada sekarang.
“…diketuai oleh YAB Menteri Besar sendiri, kita adakan mesyuarat secara berkala dan kita mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menyokong Majlis Biodiversiti ini supaya dapat ke depan lagi dan memperbanyakkan lagi hasil-hasil penemuan dalam Negeri Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat di negeri ini agar menyemai rasa kasih sayang terhadap flora dan fauna untuk mengelakkan ianya daripada pupus di negeri ini.
“Sebagai rakyat Negeri Pahang, kita mestilah meletakkan penuh rasa kasih dan sayang kita kepada segala flora dan fauna yang ada pada hari ini yang mesti kita jaga dengan sebaik-baiknya kerana ia amat berharga dan elakkan daripada ia pupus daripada bumi Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

