Oleh : Aimi Syafiqa Khairi & Aisyah Abdul Manan
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2025 : Program Townhall Pahang 1st Lecture Series menjadi platform penting dalam menyemai semangat kepimpinan serta membentuk jati diri anak muda selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat lebih jelas mengenai hala tuju Kerajaan Negeri.
“Sambutan yang sangat menggalakkan dan rata-ratanya selain daripada melihat pada body language, audience dan sebagainya, pertanyaan-pertanyaan dikemukakan itu jelas mereka ingin tahu perkara yang sebenarnya dan ini memberi peluang kepada mereka nampak dengan jelas hala tuju Kerajaan Negeri.

“Saya dapati respon yang sangat baik, kehadiran pun baik, soalan-soalan dikemukakan berkualiti dan nampak mereka menaruh harapan yang tinggi dimana untuk kita bawa Negeri Pahang ini untuk ditahun-tahun yang akan mendatang.
“…dan saya nak supaya mereka (mahasiswa) mendapat maklumat yang sebenarnya-benarnya. Sekarang ini dunia media sosial, dunia bermainkan persepsi sentimen dan isu fikiran dan kita tidak mahu rakyat Negeri Pahang ini mendapat maklumat-maklumat ataupun berita-berita tidak sahih kerana ini menggugatkan keharmonian sesama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Townhall Pahang 1st Lecture Series di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan Aspirasi Pahang 1st yang bertujuan melahirkan generasi muda Pahang yang bersemangat tinggi, berjiwa kental, dan mencintai negeri.
“Aspirasi Pahang 1st ini kita nak melahirkan anak-anak Pahang yang ada semangat yang tinggi, jiwa kental, sayang kepada Pahang dan untuk kita melonjakkan Negeri Pahang mesti ada resipi-resipi, acuan-acuan dia.
“Kerana kita faham bahawa semakin hari keadaan hidup kita secara khususnya semakin mencabar, dunia tanpa sempadan, dan kita pun sebenarnya di Negeri Pahang pun bersaing juga.

“Dan untuk kita melonjakkan Negeri Pahang ni kita mesti melahirkan anak-anak Pahang, anak-anak muda yang mempunyai semangat jati diri yang kuat, ingin maju ke hadapan, tidak mudah mengalah dan sentiasa ingin maju dan sayang dan cintakan kepada Negeri Pahang,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. -PAHANGMEDIA

