Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2025 : Sesi Townhall Bersama YAB Menteri Besar Pahang menjadi medan bersemuka dan menjelaskan pencapaian serta perancangan Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyat secara terus.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, segala cadangan dan permasalahan yang dikemukakan pada program berkenaan akan diteliti oleh Kerajaan Negeri Pahang.

“Sesi Townhall telah pun selesai dan saya sangat berpuas hati kehadiran semua dan dapat menyampaikan mesej apa yang telah Kerajaan Negeri buat, laksanakan, dan akan dibuat.
“Dan juga tadi ada pertanyaan daripda orang ramai dan mereka mengemukakan cadangan-cadangan, semuanya diambil kira dan malah sesetengah dari yang mereka perkatakan itu telah pun diambil kira, cuma kadang-kadang kita ada kekangan bajet peruntukan kerana ianya melibatkan peruntukan yang sangat besar. Dan Kerajaan Persekutuan, kita telah kemukakan dan ada yang mereka meluluskan permohonan kita, tapi ada juga yang mereka sedang kaji dan teliti. apapun usaha ini secara berterusan,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan rakyat Pahang memandangkan sesi ini menunjukkan keperihatinan rakyat dalam pembangunan negeri secara bersama.

“Diluar jangkaan (sambutan), dewan penuh malahan sampai ke luar. Jadi saya difahamkan view pun daripada Facebook, Tiktok saya, lebih dari jangkaan dan ini menunjukkan bahawa keprihatinan rakyat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
“Dan saya sangat gembira kerana mereka dapat mendengar daripada mulut saya sendiri, daripada Kerajaan Negeri. Mereka tidak mendengar daripada pihak-pihak lain yang lebih banyak memainkan persepsi, sentimen berbanding dengan fakta dan juga prestasi,” katanya.
Mengulas mengenai Belanjawan 2026 Negeri Pahang yang bakal dibentangkan, beliau memberi bayangan pertambahan beberapa perkara baharu disamping penambahbaikan perkara sedia ada.
“Ada-ada perkara baru, ada perkara yang lama tapi kita tambah baik. Of course ada juga yang dinantikan oleh penjawat awam seperti contohnya bantuan kawangan. Adalah sedikit perkara baru yang tidak ada dilaksanakan sebelum ini akan dilaksanakan.
“Kita buat sehabis baik kerana Belanjawan ini kita tidak buat sembarangan, kita ada perbincangan, kita ada retreat, dan kita buka peluang kepada rakyat untuk mengemukakan cadangan dan semua itu akan dikaji dan diteliti tetapi ia masih tertaluk pada kedudukan kawangan.
“Tuntutan-tuntutan begitu banyak tetapi ia mesti sepadan dengan kedudukan kawangan kerana kewangan itu yang jadi penentu dan seperti mana yang saya janjikan, kita akan belanja apa yang kita dapat selain daripada perbelanjaan tetap yang telah ditetapkan, yang itu kita tidak boleh buat apa, yang lain itu kita kembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Lebih 1,500 pengunjung hadir pada Sesi Townhall Bersama YAB. Menteri Besar Pahang di Dewan Dato’ Seri Abdul Manan Ismail selama hampir 2 jam yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman.
Antara topik yang disentuh melibatkan pencapaian Kerajaan Negeri Pahang, perancangan infrastruktur dan pembangunan negeri, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat, dan Belanjawan Negeri 2026.
Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

