Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2025 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima Anugerah Fellow Kehormat IEM (Hon. F.I.E.M) daripada Institut Jurutera Malaysia (IEM) dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS, di sini hari ini.
Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan bidang kejuruteraan di negeri ini.
YAB Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam satu kenyataan hari ini berkata, penganugerahan yang diterima bukan hanya menggambarkan usaha individu semata-mata, sebaliknya merupakan penghargaan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memacu kemajuan infrastruktur, kejuruteraan dan pembangunan mampan.
Tambahnya, pengiktirafan itu juga dianggap sebagai simbol penghargaan kepada seluruh warga kerja Kerajaan Negeri, agensi teknikal serta para jurutera yang sentiasa komited memastikan pembangunan negeri berjalan secara terancang, selamat dan lestari.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan terus memperkukuh agenda pembangunan berasaskan kejuruteraan moden dan inovatif demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.
Penyerahan anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden IEM, Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Chung Luin dan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim.
Majlis berkenaan diadakan sebagai kesinambungan daripada program Majlis Jamuan Malam Jurutera & Anugerah Kecemerlangan IEM Pahang 2025 yang berlangsung di Hotel Zenith, di sini pada 12 Oktober lalu dengan tema “Kejuruteraan Nadi Transformasi”.
Program tersebut menghimpunkan para profesional kejuruteraan dari seluruh negeri dengan tujuan menghargai sumbangan jurutera terhadap pembangunan negeri selain memperkukuh hubungan antara pihak industri, agensi kerajaan dan swasta.
Sebanyak tujuh kategori anugerah industri disampaikan dalam majlis itu, termasuk Kontraktor G7 (Infrastruktur), Kontraktor G7 (Bangunan), Perunding Awam & Struktur, Kejuruteraan Mampan & Inovatif, Kerjasama Industri (Akademia), Projek Kejuruteraan Cemerlang (Infrastruktur) dan Projek Kejuruteraan Cemerlang (Pembinaan Bangunan).
Selain itu, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM turut diberikan kepada anak-anak ahli IEM Pahang yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik. -PAHANGMEDIA

