Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Shafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 OKTOBER 2025 : Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah memulia dan melupuskan 9.1 tan abu bahan serta teks Al-Quran di perairan negeri hari ini menerusi Program Pelupusan Al-Quran.
Proses pelupusan secara tertib itu membabitkan kira-kira 27,469.20 kilogram (kg) Al-Quran yang sudah diproses menjadi bongkah abu dan disempurnakan di kawasan sejauh 11.11 kilometer (kira-kira 6 batu nautika) sekitar jam 11.30 pagi.
Menurut Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, acara tahunan ini merupakan pelupusan hasil pengumpulan naskah melalui JAIP di peringkat daerah.

“Biasanya program ini kita adakan secara tahunan. Jadi, kita buat hebahan kepada masyarakat Islam di Pahang supaya melupuskan Al-Quran yang rosak dan buku-buku ada ayat-ayat suci Al-Quran dan dikumpulkan melalui Jabatan Agama Islam Pahang di peringkat daerah dan begitu juga masjid-masjid daerah.
“Dan setelah itu, apa yang berlaku, abu-abu tersebut dibuat bentuk seperti bata dan setelah itu, kita lupuskan ke laut. InsyaAllah, itu cara untuk kita menjaga dengan abu tersebut. Dia boleh meresap di dalam air laut.
“InsyaAllah, itu cara yang kita telah putuskan yang terbaik untuk dilupuskan Al-Quran bersesuaian dengan kehendak syara’. Cuma daripada keputusan fatwa, kita mahukan kertas-kertas tadi apabila diguna semula, diguna juga untuk membuat Al-Quran ataupun perkara-perkara mulia. Tak bolehlah buat tisu, tandas dan sebagainya. Jadi, kena ada kontrol di sudut itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pelupusan Abu Al-Quran ke Laut menaiki kapal KD Terengganu di Tanjung Gelang hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji proses pelupusan menggunakan cara kitar semula termasuk kajian penyahdakwatan naskah suci dan Al-Quran.
“Jadi, dalam proses pelupusan ada cara terbaru juga dalam bentuk recycle. Cuma, dia masih lagi pada peringkat awal dan kajian deinking tersebut, kita telah meluluskan di peringkat muzakarah dan juga fatwa Pahang telah absorb. Jadi, memberi pilihan kepada Jabatan Agama Islam Pahang.

“Pada masa akan datang kalau bersesuaian, kita mungkin boleh menggunakan kaedah recycle. Buat masa ini, kita memang ada peralatan untuk pembakaran. Peralatan pun masih bagus.
“Cuma, pada masa akan datang, kalau kos dia lebih murah, mungkin kita boleh pergi ke arah itu. Buat masa ini, pada kajian kami, belum lagi lebih murah. Tetapi, mana tahu pada masa akan datang, dan ada galakan juga daripada pihak kerajaan dan sebagainya di sudut costing,” katanya.
Katanya, proses pembakaran Al-Quran dan naskah suci dibakar di dua relau di Chenor, Maran; dan Pekan sebelum dibuang ke laut dengan kerjasama Tentera Laut diraja Malaysia
(TLDM).
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain; Pengarah Perancangan dan Kontingensi TLDM, YBhg. Tuan Kapten Nasrol Hakim Jamaludin. -PAHANGMEDIA

