Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperkukuh promosi pelaburan melalui penyertaan Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 buat kali ketiga berturut-turut.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bagi menarik pelabur dari dalam dan luar negara.

“Ini jelas menunjukkan bahawa penyertaan kali ketiga Kerajaan Negeri Pahang menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik selain daripada kita mempromosikan potensi pelaburan di peringkat serantau atau dan juga di peringkat antarabangsa.
“Kita semua tahu bahawa penyertaan Pahang memberi tumpuan kepada promosi inisiatif pembangunan berimpak tinggi termasuk Transit-Oriented Development ataupun TOD dan Economic Accelerator Projects (EAP) yang berkait rapat dengan aspek keterhubungan dan rantaian bekalan logistik (connectivity and logistics supply chain) di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Pada hari ini juga terdapat 13 buah syarikat terdiri daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) dan syarikat swasta melalui Pavilion Invest Pahang dan ini merangkumi dua segmen utama iaitu Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) dan enam di Selangor International F&B Expo (SIE F&B),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangai Memorendum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri Pahang di Selangor International Business Summit (SIBS) 2025, hari ini.

Tambah beliau, penubuhan Invest Pahang menjadi antara langkah utama Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan ekosistem pelaburan dan menarik minat pelabur ke negeri ini.
“…sebab itu kita tubuh Invest Pahang, sebelum ini tidak ada Invest Pahang dan saya juga sering menekan supaya kita ini kena mesra pelabur, kita tanpa compromise dengan peraturan dan protokol.
“Kita cuba cut birokrasi sebab kita kena ingat bahawa pelabur-pelabur ini punya pilihan, mereka boleh kalau tidak mahu datang ke Pahang, mereka boleh pergi ke tempat-tempat lain. Jadi, kita kena ambil sebab itu lah bila mereka berminat ke Pahang, kita bagi kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pelabur dan orang ramai untuk terus menjadikan Pahang sebagai destinasi pilihan memandangkan negeri ini memiliki kelebihan berbanding negeri lain.
“Jadi, saya menyeru orang ramai supaya datang ke Pahang, pastinya tidak mengecewakan. Mereka boleh lihat apa sahaja yang mereka nak yang tidak ada di negeri lain, ada di negeri Pahang. Itu kelebihan Pahang,” ujarnya.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pegawai Pelaburan Negeri Pahang, YH. Dato’ Kamarul Arifin Ahmad; dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

