Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 07 OKTOBER 2025 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan kejadian kebocoran air di kawasan menunggu Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, hasil siasatan mendapati kebocoran berlaku apabila sistem paip aliran air hujan tidak dapat menampung jumlah air yang berlebihan.
“Kejadian ini berpunca daripada kebocoran air melalui celahan bumbung akibat hujan lebat dan angin kuat pada waktu berkenaan. Tambahan pula, sistem saliran air hujan (rainwater downpipe) tidak dapat menampung jumlah air yang terlalu banyak, terutamanya ketika hujan berterusan.
“Akibat kejadian tersebut, berlaku kebocoran di kawasan menunggu dan menyebabkan proses mendapatkan rawatan bagi orang awam terganggu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan segera telah diambil oleh syarikat konsesi HTAA dengan menggunakan tampalan pita kalis air bagi menutup celahan bumbung yang berpotensi dimasuki air di kawasan menunggu Zon Hijau dan kawasan asma tersebut.
“Untuk tindakan awal pada malam tadi, syarikat konsesi HTAA telah menggunakan tampalan flashing tape untuk menutup celahan bumbung yang berpotensi dimasuki air.
“Semakan dan pembaikan lanjut terhadap bumbung dan saluran paip air hujan akan dilaksanakan bagi memastikan kejadian kebocoran bumbung tidak berulang.
“Pada masa yang sama, semakan keseluruhan terhadap keselamatan pendawaian elektrik dilaksanakan bagi memastikan fasiliti berkenaan selamat. Pihak HTAA memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya. -PAHANGMEDIA

