Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 04 OKTOBER 2025 : Penganjuran Pesta Tanglung dapat membentuk para pelajar menjadi duta harmoni bagi rakyat berbilang bangsa di negara dan Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, pesta yang merupakan perayaan musim luruh masyarakat Cina ini dilihat mampu memupuk keharmonian masyarakat.
“Ianya dapat memupuk keharmonian kerana masyarakat akan lebih faham mengenai adat masing-masing dan kepercayaan. Kita perlu saling menghormati memandangkan kita terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa.
“Kerana apabila memupuk keharmonian tersebut ia dapat elakkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan ketegangan atau kurang selesa di antara kita.
“Harapan saya adalah pelajar-pelajar ini apabila dewasa nanti akan menjadi duta harmoni untuk masyarakat berbilang bangsa,” katanya
Tambah beliau, pesta ini juga menjadi penunjuk keharmonian dan sifat toleransi di negara dan negeri ini apabila diserikan dengan penglibatan pelajar berbilang bangsa.
“Program malam ini merupakan program Pesta Tanglong anjuran SJK(C) Pekan dan pesta ini amat menarik, di mana ia merupakan satu perayaan musim luruh yang diamalkan oleh kaum Cina. Saya difahamkan sekali setiap dua tahun dan uniknya di SJK(C) Pekan ini ialah majoriti pelajarnya terdiri daripada bangsa Melayu.
“Sekolah ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat berbilang kaum di Pekan dan yang unik dalam bandar Pekan mereka saling memahami dan menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Pesta Tanglung di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pekan, semalam. -PAHANGMEDIA