KUANTAN, 4 OKTOBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, menzahirkan ucapan tahniah kepada Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Badli Shah Alauddin di atas kejayaan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Pengajian Islam dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang tersebut yang bukan sahaja mengangkat martabat diri beliau, malah turut memberi sumbangan besar dalam memperkukuhkan institusi fatwa serta perkembangan ilmu Islam di Negeri Pahang khususnya, dan di Malaysia amnya.
Kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga UniPSAS dan masyarakat untuk terus menuntut ilmu, meningkatkan kepakaran serta mengukuhkan kefahaman Islam berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan semoga YH Dato’ Dr. Badli Shah terus diberikan kekuatan, kesihatan dan keberkatan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sebagai Timbalan Mufti Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA