Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
PEKAN, 3 OKTOBER 2025 : Bantuan Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 dilihat mampu memberi kelegaan kepada mahasiswa di negeri ini apabila dapat meringankan beban kos pembelajaran mereka.
Bagi Ahmad Amirul Faiz, 23, seorang mahasiswa di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebannya untuk membeli buku tambahan serta menyertai pelbagai aktiviti di universiti.

“Saya rasa sangat gembira kerana dapat mengurangkan beban sebagai seorang pelajar. RM400 ini akan saya gunakan untuk keperluan harian serta menyertai aktiviti universiti yang boleh membantu meningkatkan produktiviti saya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tok Wan kerana telah membantu dan mempermudahkan urusan kami mahasiswa,” katanya.
Menurut Aina Syazwina, 22, menyifatkan bantuan tersebut dapat membantunya menampung kos tiket penerbangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak.

“Saya rasa bersyukur kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban di Sarawak nanti. Ia membantu saya dalam pengurusan tempat tinggal dan juga mengurangkan perbelanjaan untuk membeli tiket penerbangan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Tok Wan kerana sudi membantu kami mahasiswa sekali gus dapat mengurangkan beban yang ditanggung,” katanya.
Sementara itu, Nurul Zafirah Al-Amni, 23, seorang mahasiswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata bantuan berkenaan banyak membantunya dalam menampung perbelanjaan sepanjang pengajian di universiti.

“Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu. Saya akan gunakan bantuan ini untuk kos sara hidup di universiti kerana saya membawa kereta sendiri. Duit ini dapat digunakan untuk minyak kereta dan selebihnya untuk membeli barang keperluan.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi bantuan Inisiatif Makmur Pahang khususnya buat kami mahasiswa. Alhamdulillah, semoga pada masa akan datang Kerajaan Negeri Pahang terus dapat membantu mahasiswa. Terima kasih Tok Wan (YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail),” katanya.
Seramai 700 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya menerima bantuan melalui Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dalam satu majlis di Convention Hall Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini. -PAHANGMEDIA

