Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MELAKA, 19 SEPTEMBER 2025 : Sebanyak 277 inisiatif termasuk 182 inisiatif baharu bernilai RM361 juta dibincangkan pada Mesyuarat Pemukiman (Retreat) Belanjawan Negeri Pahang 2026.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua inisiatif ini selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang mengutamakan Negeri Pahang di dalam setiap tindakan.
“Ada 95 inisiatif yang sedia ada jumlahnya lebih kurang RM277 juta dan kemudian ada sebanyak 182 inisiatif baru dengan nilainya RM361 juta, jadi menjadikan semua sekali 277 inisiatif yang kita ada bincangkan ini.

“Kita akan kaji dan kita akan perhalusi lagi insha Allah ini akan bertambah baik daripada tahun sebelum ini dan ini harus dilihat dengan lebih teliti.
“Dan juga dalam Aspirasi Pahang 1st ini kita seharusnya dan wajib mengutamakan Negeri Pahang dalam apa jua tindakan kita supaya manfaatnya akan dapat kita bagi rakyat Pahang,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati berkenaan perkara yang dibincangkan di dalam mesyuarat ini yang dilihat kesemuanya menjurus kepada kebajikan rakyat.

“Saya juga sangat puas hati kerana banyak perkara yang dibincangkan dalam bajet tersebut adalah semua menjurus kepada rakyat dimana kita akan kembalikan kepada rakyat seperti mana janji Kerajaan Negeri sebelum ini, supaya mereka dapat bantuan yang sewajarnya.
“Sebagai contohnya saya dapati boleh meliputi semua pihak yang terlibat didalam pemberian bajet ini dan saya juga berpesan supaya tidak ada mana-mana kumpulan yang tertinggal walaupun kita mempunyai bajet yang sangat terhad tetapi kita cuba sedaya upaya kita untuk memberi kepuasan kepada rakyat Negeri Pahang.

“Supaya kita tidak mahu ada mana-mana kawasan rakyat yang tertinggal, terpencil, atau tidak mendapat bantuan. Maknanya kita mesti utamakan rakyat Negeri Pahang ini,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini Kerajaan Negeri Pahang juga telah berjaya mengutip RM840 juta kutipan hasil bagi tahun ini dan beliau turut melahirkan keyakinan dalam mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu RM1.254 juta.
“Untuk makluman, sasaran kita pada tahun depan adalah RM1.254 bilion manakala sasaran itu juga surplus sebanyak RM5 juta berbanding dengan tahun ini kita ada RM 1.19 billion.
“Setakat ini kita berjaya mendapat RM840 juta sehingga bulan yang lalu dan insya Allah saya sangat yakin, optimis, sasaran kita akan dapat kita capai,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pemukiman (Retreat) Belanjawan Negeri Pahang 2026 di AMES Hotel, Ayer Keroh. -PAHANGMEDIA

