Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 11 SEPTEMBER 2025 : “Kita rasa lagi dekat dengan kita punya pemimpin,” kongsi Puan Zurainah berkenaan Program Jelajah Muafakat Felda.
Menurut Puan Zurainah Md Sah, 40, dari Felda Chini 4, program yang diadakan di Felda Chini ini juga merupakan satu platform bagi rakyat meluahkan secara terus permasalahan kepada pemimpin negeri.
“Inilah peluang untuk kita sebagai rakyat biasa yang orang atas memang tak kenal kita, yang memang tak tahu apa masalah yang kita hadapi, dan dengan program ini kita dapat luahkan apa yang kita nak sampaikan kepada mereka.
“Dan hari ini saya dapat banyak sangat maklumat dan informasi daripada Dato’ Amizar dan Dato’ Sharim mengenai isu-isu yang saya nak tanya sebelum ini mengenai usahawan yang duduk di kawasan Felda, berniaga di kedai Felda.
“Soalan ini memang dah lama saya nak tanya dan alhamdulillah hari ini saya dapat jawapan yang sangat membantu untuk saya meneruskan lagi perniagaan saya,” katanya yang merupakan generasi kedua Felda.
Sementara itu, Haji Abdul Gaffar Haji Abdul Hamid, 72, dari Felda Chini 1 turut melahirkan rasa gembira penjelasan daripada pihak Kerajaan Negeri dan Felda pada program yang diadakan ini.
“Saya gembira dengan apa yang disampaikan kepada pihak peneroka di dalam Dewan Shahbandar, Chini ini. Saya memang setuju program ini dibuat berterusan bagi peneroka ambil tahu (maklumat).
“Bukanlah nak minta buat tiap-tiap bulan, pada pandangan saya mungkin buat dalam (tempoh) 5 ke 6 bulan sekali atau setahun sekali. Benda ini baik bagi saya,” katanya.
Seramai kira-kira 150 peneroka Felda Chini hadir menyertai Suara Muafakat FELDA Bersama Pimpinan Dan Sesi Soal Jawab di Dewan Shahbandar, Felda Chini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain. -PAHANGMEDIA