Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 31 OGOS 2025 : Moh Karnival Makmur Negeri Pahang akan dikenali sebagai Karnival Aspirasi Pahang 1st selepas ini bagi menyemarakkan lagi semangat aspirasi berkenaan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ini bagi meletakkan Negeri Pahang sebagai keutamaan dalam diri setiap rakyat di negeri ini.

“Kita nak jenamakan program kita (Moh Karnival Makmur) ini (sebagai) Karnival Aspirasi Pahang 1st sebabnya kita nak letakkan Negeri Pahang ini adalah keutamaan kepada kita.
“Tak ada siapa yang akan jaga Negeri Pahang ini kecuali kita, melainkan kita rakyat Pahang. Jadi kita kena kekalkan kemakmuran yang ada, prestasi Kerajaan Negeri yang ada ini,” katanya.

Beliau berkata dalam memastikan Negeri Pahang kekal makmur, semua rakyat diseru untuk melihat prestasi yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri dan memberi sokongan.
“…kita terus pertingkatkan dan ianya hanya boleh dilakukan sekiranya mendapat sokongan dan bantuan daripada tuan-tuan.
“Sebab itulah saya menyeru semua rakyat Pahang dimana sahaja berada supaya dapat melihat prestasi Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Santai Bersama Tok Wan Sempena Moh Karnival Makmur Pahang 2025 Peringkat Daerah Pekan di Dataran Pekan Bandar DiRaja.
Tambah beliau, penganjuran karnival ini juga mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri untuk
mendekati masyarakat, menyampaikan dasar serta menyelesaikan masalah rakyat dengan cepat dan berhemah.

“Apa yang menjadikan penganjuran karnival ini istimewa ialah gabungan tiga segmen utama, iaitu Moh Karnival Makmur, Karnival Tanah Pahang, dan Karnival Usahawan Makmur.
“Ia bukan sahaja meriah dengan aktiviti mesra rakyat, malah membawa mesej penting bahawa kerajaan negeri turun padang untuk menyantuni, mendengar dan membantu rakyat secara terus.
“Kita bukan sekadar mahu membina jalan, jambatan atau bangunan, tetapi lebih penting, kita mahu membina keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

