Oleh : Norhafizan Zulkili
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 23 OGOS 2025 : YP Maintenance Sdn. Bhd. mencatat sejarah apabila menjadi syarikat penyenggaraan jalan pertama di Negeri Pahang yang menerima pengiktirafan Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE) 5-Bintang daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Majlis penyampaian sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim kepada Pengarah Urusan YP Maintenance Sdn. Bhd., Datuk Seri Hasnur Rabiain Ismail, dengan disaksikan Pengarah CIDB Negeri Pahang, Encik Nur Iskandar Zulkefli bertempat di Scapes Hotel, Genting Highlands, di sini semalam.
Menurut YB. Dato’ Ir. Razali, pencapaian itu membuktikan syarikat tempatan di Pahang berupaya melakar kecemerlangan bertaraf nasional sekali gus menjadi penanda aras kepada kontraktor lain di negeri ini.

“Ini cukup membanggakan juga diperingkat negeri bahawa negeri Pahang juga melahirkan kontraktor yang bertaraf lima bintang dan satu-satunya (kontraktor) bertaraf lima bintang menerima 5-Star SCORE Rating Award ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas majlis berkenaan.
Tambahnya, YP Maintenance Sdn. Bhd. menerima peruntukan kira-kira RM115 juta setahun, iaitu 25 peratus daripada keseluruhan peruntukan lebih RM400 juta setahun bagi penyelenggaraan jalan negeri melalui tabung Malaysian Road Records Information System (MARRIS).
“Setakat ini Alhamdulillah, setiap tindakan segera itu akan diambil oleh YP Maintenance dan saya juga difahamkan bahawa pihak YP Maintanance juga ada unit rondaan yang sentiasa melihat di mana sekiranya ada kerosakan akan diambil tindakan segera,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan harapan agar syarikat konsesi jalan lain di bawah Kerajaaan Negeri dapat mencontohi kejayaan YP Maintenance dalam mencapai penarafan bertaraf lima bintang.
“Ini sebagai salah satu contoh kerana mendapat penarafan lima bintang dan kita haraplah syarikat-syarikat lain juga sama terutama sekali syarikat di bawah konsensi lantikan Kerajaan Negeri Pahang ini.
“Kita haraplah semua syarikat konsesi ini dapat lima bintang. Boleh jadikan sebagai contoh, guide (rujukan) atau sebagai tempat rujuk, saya percaya YP Maintanance juga tidak kedekut ilmu,” ujarnya.
Program SCORE yang dibangunkan dengan kerjasama SME Corp itu bertujuan meningkatkan keupayaan kontraktor tempatan melalui sistem penarafan yang merangkumi aspek kewangan, teknikal, projek, perolehan, amalan terbaik serta kecekapan pengurusan.-PAHANGMEDIA

