Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 23 OGOS 2025 : Program Pemerkasaan Persatuan Belia (YES) yang memasuki tahun kedua penganjurannya menjadi platform utama melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berwibawa di Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, program khas Kerajaan Negeri Pahang ini juga bagi menyuntik nilai disiplin dan muafakat dalam kalangan belia di negeri ini.
“Program YES ini adalah program khas Kerajaan Negeri Pahang untuk kita suntik nilai-nilai disiplin, nilai-nilai muafakat, dan kerjasama utuh di kalangan para belia di Negeri Pahang.

“Ini adalah tahun kedua penganjuran program ini dan bagi Kerajaan Negeri Pahang, belia atau anak muda ini adalah aset terpenting kita. Jadi, kita nak lahirkan anak muda tak kira bangsa, Melayu, Cina, India, dan Orang Asli di kalangan belia yang mempunyai disiplin yang tinggi, jati diri yang kental dan berketahanan, sebab dunia hari ini penuh dengan cabaran dan menuntut belia yang betul-betul bersedia untuk menghadapi cabaran ini.
“Sama ada cabaran dalam kehidupan, cabaran dalam dunia pendidikan dan juga cabaran di sektor pekerjaan yang mereka akan ceburi nanti. Kita tak nak belia-belia Pahang nanti gagal mendepani cabaran ini. Tidak kisahlah dalam bidang mana pun mereka berada. Jadi itulah objektif pelaksanaan YES ini,” katanya.
Beliau berkata program kali ini juga menampilan banyak kelainan dan penambahbaikan terutama melibatkan fasilitator serta modul yang bertepatan dengan kehendak Kerajaan Negeri Pahang.

“Banyak kelainan atau penambah baikan itu sendiri. Pertamanya dari segi fasilitator adalah sebahagian besarnya di kalangan peserta YES tahun lalu mana yang terbaik itu kita lantik mereka untuk jadi fasilitator dan train pula peserta YES kali ini.
“Kedua dari segi modul, yang diterapkan dalam program YES ini, saya minta kaji betul-betul supaya ia menepati kehendak Kerajaan Negeri termasuklah dalam menanam kecintaan kepada negeri dan negara ini.
“Kita nak dalam modul ini, kita nak bentuk muafakat yang erat antara belia-belia negeri Pahang ini. Tidak kisahlah di kalangan Melayu, Cina, India, dan Orang Asli dan bahasa lain pun supaya kesepaduan atau perpaduan, di kalangan mereka ini, akhirnya bukan sahaja bagi manfaat kepada mereka tapi juga kepada masyarakat dan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemerkasaan Persatuan Belia (Youth Empowerment Society – YES) Negeri Pahang 2025. -PAHANGMEDIA

