Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 22 OGOS 2025: Jelajah Klinik Tok Wan yang digabungkan bersama Kembara Muafakat FELDA Pahang sempena Program Muafakat FELDA di Felda Lembah Klau, di sini hari ini, nyata memberi kelegaan kepada pesakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan.
Bagi Nurhafizah Issa, 30, yang menjaga ibunya, Raziah Mohamad, 69, pesakit strok sejak 2020, kehadiran pasukan perubatan ke rumah memberi kemudahan besar buat keluarganya.
“Mak dah strok start (bermula) 2020, jadi masuk tahun ini dah lima tahun. Saya ucapkan terima kasihlah kerana sudi datang ke rumah untuk check (periksa), sebab kalau pergi klinik selalu dia ikut appointment (temujanji), jadi kalau datang ke rumah ini lebih mudahlah sebab nak pergi klinik kena angkat (mak) ke kereta sebab mak tak boleh gerak sendiri. Rasa sangat bagus. Lebih mudah.

“Saya sebagai wakil (mak) nak ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana buat satu program yang baguslah untuk penduduk Kampung Felda Lembah Klau dan juga terima kasih juga untuk wakil Klinik Tok Wan kerana sudi datang untuk petang ini,” katanya.
Turut berkongsi perkara sama, Muhammad Adib Ibrahim Wong, 24, yang menjaga ibunya, Hasiah Khajim, 62, pesakit buah pinggang sejak 2019, menyifatkan inisiatif ini sangat membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
“Bagus untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan. Dapat memudahkan urusan pesakit bagi yang tidak mampu bergerak. Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas inisiatif yang diberikan. Inisiatif ini memang bagus,” ujarnya.

Ziarah pesakit dalam program ini turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Program Muafakat FELDA dan Jelajah Klinik Tok Wan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Pahang membantu meringankan beban penjaga pesakit kronik serta memastikan golongan berisiko tidak tercicir daripada menerima rawatan kesihatan. -PAHANGMEDIA

