Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 21 OGOS 2025 : Orang ramai menyambut baik Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) yang dilihat sebagai usaha Kerajaan Negeri merapatkan hubungan dengan rakyat.
Menurut Encik Haji Adnan Haji Hassan, 71, dari Kampung Desa Kayangan, Brinchang, program berkenaan memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi secara terus dengan barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelbagai isu.

“Ini langkah yang baik kerana kita boleh berjumpa dengan pemimpin-pemimpin yang ada dalam Negeri Pahang ini. Rakyat boleh mengetahui macam mana nak mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan agensi kerajaan.
“Saya rasa program ini wajar diteruskan sekurang-kurangnya dua tahun sekali kerana apabila buat sedemikian, permasalahan di kawasan tempatan itu dapat kita diutarakan dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Bagi Encik Abdul Rahman Azid, 43, menegaskan program ini memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan keluhan yang selama ini tidak terjawab di peringkat daerah.

“Program ini sangat membantu, di mana kami dapat meluahkan kerana kebiasaannya kami tak dapat nak luahkan masalah yang ada.
“Apabila YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar datang ke sini, perkara yang kami selama ini pendam dapat diluahkan dan dapat jawapan yang sebenarnya,” ujarnya.
Manakala Encik Bahgenut Bahumas, 61, dari Kampung Orang Asli Sungai Ubi, menyifatkan penganjuran itu sebagai wadah penting untuk menyelesaikan masalah setempat.

“Alhamdulillah program ini dapat meneliti keadaan yang sebenar di daerah Cameron Highlands ini seperti masalah yang tidak dapat diselesaikan. Komitmen kerajaan negeri jelas dan ia wajar diteruskan dari semasa ke semasa agar kesedaran itu ada dan rakyat tidak ditinggalkan,” katanya.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh, Pegawai Daerah, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin dan barisan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri ini.
Kira-kira 700 orang hadir pada Sesi Townhall yang diadakan di Dewan Puncak Arabella, Cameron Highlands hari ini.-PAHANGMEDIA

