Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Khairul Azrin Holed
BENTONG, 21 OGOS 2025 : Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan fungsi penting dalam memperkukuhkan institusi masyarakat khususnya dalam bidang keusahawanan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, namun demikian masih ramai yang tidak mengetahui fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh NADI.

“NADI atau nama penuhnya Pusat Sebaran Maklumat Nasional yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada anggota masyarakat khususnya. NADI ni, tiga perkhidmatan utamanya adalah perkhidmatan internet itu sendiri, ada perkhidmatan pintar yang lain dan lainnya adalah pusat sebaran maklumat khusus daripada pihak kerajaan kepada anggota masyarakat.
“Ramai yang tidak mengetahui fungsi atau peranan yang dimainkan oleh NADI ini yang memberi perkhidmatan percuma kepada anggota masyarakat termasuk dari segi latihan dan kursus tertentu.
“Malah NADI sepatutnya menjadi platform penting dalam memperkukuh institusi masyarakat khususnya dalam bidang keusahawanan, pendidikan, latihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat untuk berkunjung ke NADI bagi mendapat maklumat lebih terperinci berkenaan perkhidmatan serta peranan yang dimainkan oleh pusat ini tanpa mengira kawasan.
“Malah di sesetengah tempat, NADI ini popular untuk pendidikan secara online. Perkhidmatan keusahawanan secara online misalnya, dan macam-macam perkhidmatan yang lain. Kakitangan di NADI ini dilatih oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi latihan pula kepada anggota masyarakat.
“Jadi kadang-kadang ada salah tanggapan. Misalnya NADI di kampung tertentu dikhususkan untuk anggota masyarakat tertentu di kampung tersebut sahaja. Padahal perkhidmatannya lebih menyeluruh dan boleh dimanfaatkan oleh siapa sahaja anggota masyarakat yang berhampiran.
“Jadi saya gesa seluruh anggota masyarakat berkunjung ke NADI ini untuk mendapat maklumat lebih terperinci tentang perkhidmatan serta peranan yang dimainkan oleh NADI untuk kepentingan anggota masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Jambu Rias di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai pada Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st. – PAHANGMEDIA

