Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 21 OGOS 2025 : Temasya Warisan Pahang 2025 dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja akan diadakan di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan, bermula 1 hingga 7 September ini.
Acara berkenaan dijangka menghimpunkan pelbagai keunikan seni kraf, warisan dan masakan tradisional bukan sahaja dari Pahang, malah seluruh negara termasuk penyertaan antarabangsa dari Turkiye, Laos, Singapura dan Indonesia.
Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang berkenan berangkat pada 31 Ogos ini, jam 8.30 malam di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan.
Pada majlis sama, turut diadakan Pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah dan Majlis Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah Pertandingan Tenun Pahang Diraja yang turut akan diserikan dengan keberangkatan kerabat diraja serta tetamu kenamaan termasuk Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

Sepanjang tujuh hari temasya, pengunjung berpeluang menyertai bengkel-bengkel kraf seperti batik blok, batik eco-print, anyaman mengkuang, telepuk, kelingkam, seramik, pewarnaan alam, serat nanas dan kenaf.
Turut ditampilkan hasil seni kraf masyarakat Orang Asli termasuk ukiran patung suku kaum Jahut dan anyaman selempang suku kaum Semelai.
Lebih istimewa, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dijadualkan akan mengadakan demonstrasi masakan tradisional disamping penganjuran pertandingan masakan dalam kalangan pelajar sekolah.
Temasya ini juga menampilkan Pameran Warisan Gastronomi dan Kulinari Pantai Timur, Pameran Tiffin, pameran lukisan, selain persembahan Dikir Pahang, Gendang Silat Pahang, muzik tradisional Usari Pinang Dara serta persembahan budaya Sarawak.
Majlis Penutup akan berlangsung pada 7 September 2025, pada jam 8.00 malam di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak penganjur melalui emel yayasantenun@gmail.com. -PAHANGMEDIA

