Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 23 JULAI 2025 : Majlis Sukan Pahang (MSP) menafikan sekeras-kerasnya penglibatan pihaknya dalam sebarang aktiviti penjualan pakaian rasmi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang yang didakwa dilakukan menerusi laman media sosial.
MSP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat untuk menjual pakaian rasmi SUKMA Pahang di mana-mana platform, termasuk Facebook.
MSP turut memaklumkan telah mengesan beberapa hantaran di laman Facebook yang mendakwa menjual pakaian SUKMA atas nama Majlis Sukan Pahang.
MSP turut memberitahu segala urusan berkaitan pakaian rasmi SUKMA hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi seperti laman web dan media sosial rasmi Majlis Sukan Pahang.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran meragukan yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Pihak MSP turut menyeru agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut atau mencurigakan berkaitan isu ini supaya menyalurkannya terus kepada MSP menerusi talian rasmi atau e-mel bagi mengelakkan sebarang penipuan. -PAHANGMEDIA

