Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 JULAI 2025 : Majlis makan malam sempena sambutan Maal Hijrah yang diraikan bersama anak yatim merupakan langkah memupuk sifat perpaduan dan perkongsian kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, sifat ini perlu dijadikan contoh dalam kalangan masyarakat terutamanya rakyat di negeri ini.

Beliau berkata sambutan kali ini juga lebih istimewa apabila diraikan bersama anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna dan Pusat Jagaan Wanita dan Kanak-Kanak Casa Harapan.
“Ini lah sifat penyatuan ummah, sifat perpaduan yang kita perlu contohi dan kukuh dikalangan masyakarat.
“Alhamdulillah malam ini satu contoh yang baik mana mereka mengikuti contoh dan prinsip yang diamalkan dalam peristiwa bersejarah Maal Hijarah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penglibatan perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin menyumbang dan menabur bakti kepada masyarakat.
“Saya juga mengalu-alukan penglibatan industri kecil sederhana yang ingin menyumbang kembali ke masyarakat dan menabur bakti semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H bersama Anak-Anak Yatim anjuran Aliza Cookies Bakery di Raziq Cafe Balok, disini. -PAHANGMEDIA

