Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus menzahirkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin dengan pelancaran Tabung Pahang4Palestine 3.0 yang berlangsung di Timorra Venue, Tanjung Lumpur, di sini, malam tadi.
Majlis pelancaran tabung berkenaan telah dirasmikan oleh Yang DiPertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Setiausaha Sekretariat Pahang4Palestine, Puan Siti Nurul Hidayah Ishak.
Menurut YB. Dato’ Sabariah, program Keranamu Palestin yang dianjurkan bersama Sekretariat Pahang4Palestine itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada rakyat negeri ini.
“Alhamdulillah dengan kehadiran yang menggalakkan menunjukkan bahawa rakyat Pahang begitu mengambil berat dengan keadaan rakyat Palestin,” katanya kepada Pahang Media di sini semalam.

Tambahnya, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan sebelum ini termasuk sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada rakyat Palestin sebagai tanda solidariti berterusan.
“Seperti sebelum ini, walaupu. kita berada jauh dengan rakyat Palestin, tapi kita dapat merasai kesengsaraan mereka.
“Sebab itulah kita mengadakan bermacam program sebagai tanda kita menyokong rakyat Palestin. Usaha itu sentiasa berterusan,” ujarnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri mensasarkan lebih banyak sumbangan yang dapat dikumpul menerusi tabung Pahang4Palestine 3.0 kali ini berbanding sekitar RM1.5 juta yang berjaya dikumpul ketika pelancara tabung Pahang4Palestine 2.0 yang lalu.
Dalam majlis berkenaan, dianggarkan lebih 500 yang hadir memeriahkan acara yang turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis jemputan. -PAHANGMEDIA

